Sejarah Kesusasteraan Cina bermula kira-kira seawal kurun ke-14 SM dan perkembangannya berterusan sepanjang lebih daripada 3000 tahun. Perkembangan kesusasteraan Cina ini tidak pernah menerima gangguan atau sekatan. Sifat ini khasnya disebabkan bahasa pengantar bagi sastera Cina klasik iaitu bahasa Cina telah mengekalkan identitinya dari segi lisan dan tulisan walaupun negara China pernah diperintah oleh puak asing seperti orang Mongol (dinasti Yuan, 1279-1368) dan orang Manchu (dinasti Qing, 1644-1911).Tulisan Cina pada dasarnya bersifat grafik dan bukan fonetik (non-phonetic) dan sifat ini menjadikan bahasa Cina kurang sesuai untuk digunakan dalam usaha mentranskripsikan bahasa lain.
Sifat bahasa Cina yang bukan berabjad-fonetik (alphabetic-phonetic) bermakna huruf-hurufnya tidak menunjukkan bunyi sebutan. Bahasa Cina boleh disebut dalam kelainan cara dari segi fonologi mengikut tempat atau mengikut kesesuaian selaras dengan perubahan zaman-zaman dalam sejarah Cina. Namun begitu, maksud dan huruf tetap sama tidak kira dalam dialek apapun ia disebutkan atau dipertuturkan. Maka itu kesusasteraan Cina dapat dinikmati dan dihayati oleh semua yang mengenali huruf Cina.
No comments:
Post a Comment