Tamadun dunia
hari ini sebenarnya sangat terhutang budi dengan kecemerlangan pencapaian
tamadun Asia khususnya Tamadun China kerana memberikan ilmu pengetahuan yang
sangat banyak dan tinggi dalam bidang sains dan teknologi. Tamadun Asialah
sebenarnya yang memungkinkan Tamadun Barat hari ini mencapai tahap kecemerlangan
pada masa ini. Mereka sebenarnya memperolehi segala ilmu moden tentang sains
dari leluhur Asia yang kemudiannya dibawa ke dunia Eropah dan memulakan zaman
pembaharuan atau renaissence yang terkenal itu. Dari sinilah mereka
kemudiannya meniru, memperbaiki, memperkaya dan memperbaharui segala penemuan
asal dunia Asia untuk menjadi ilmu yang lebih baik dan bermanfaat. Ketamadunan
dunia itu sendiri sifatnya adalah saling pinjam meminjam antara pelbagai budaya
dunia yang memperkayakan tradisi keilmuan kepada mana-mana bangsa yang mahu dan
berusaha untuk menekuninya.
Kecemerlangan Tamadun Asia terbukti
melalui penemuan-penemuan sains seperti dalam bidang matematik, astronomi,
sains perubatan, biologi, fizik, kimia dan zoologi. Manakala dalam bidang teknologi
pencapaian mereka terserlah dalam bidang kejuruteraan, perancangan bandar,
seni, senibina, seni pertukangan termasuklah seni pahat, seni ukir, seni
busana, seni anyaman dan seni tenun. Tamadun-tamadun Asia ini meliputi Tamadun
Arab-Islam (Melayu), India, China, dan Jepun.
No comments:
Post a Comment