Sunday, 25 March 2012

Isu Pemansuhan Peperiksaan Awam di Malaysia

Isu Pemansuhan UPSR dan PMR 

Kementerian Pelajaran akan mencadangkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dimansuhkan bagi membolehkan pelajar di negara ini menduduki hanya satu peperiksaan awam sepanjang 11 tahun persekolahan.
 
Cadangan pemansuhan peperiksaan itu adalah kerana kerajaan akan mengubah sistem pendidikan negara yang kini terlalu berorientasikan peperiksaan menyebabkan matlamat melahirkan modal insan serba boleh yang mempunyai keterampilan tinggi gagal dicapai. Namun kedua-dua peperiksaan itu mungkin juga diteruskan, tetapi bukan lagi berstatus peperiksaan awam seperti sekarang, sebaliknya dijadikan penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah saja.

Kesan negatif jika pemansuhan UPSR dan PMR
  • Tidak dapat menjadikan peperiksaan sebagai ukuran kebijaksanaan dan kejayaan negara melahirkan pelapis generasi masa depan lebih berwibawa, selain dianggap aset kecemerlangan.
  • Para pelajar akan hilang motivasi untuk belajar kerana mereka tahu tiada peperiksaan ‘besar’ yang akan mereka hadapi untuk belajar bersungguh-sungguh.
  • Kemungkinan para pelajar akan kurang mengambil berat tentang pelajaran. Ini kerana UPSR dan PMR adalah salah satu peperiksaan yang dapat menilai tahap pembelajaran mereka. 
  • Tidak dapat menentukan institusi persekolahan sudah bersedia mencapai sasaran atau masih memerlukan sokongan demi melancarkan proses pembelajaran.
  • Tidak dapat menilai kesediaan dan mengukur prestasi pelajar.
  • Tidak dapat meneruskan Falsafah pendidikan iaitu menggariskan tiga kaedah asas menilai prestasi pelajar iaitu penilaian rujukan kendiri seperti memperbaiki pencapaian, penilaian rujukan norma (membandingkan prestasi) dan penilaian rujukan kriteria (pembelajaran pada tahap dijangkakan).

Friday, 23 March 2012

Jom kenali Bahasa & Kesusasteraan China Klasik dalam Pendidikan..

Sejarah Kesusasteraan Cina bermula kira-kira seawal kurun ke-14 SM dan perkembangannya berterusan sepanjang  lebih daripada 3000 tahun. Perkembangan kesusasteraan Cina ini tidak pernah menerima gangguan atau sekatan. Sifat ini khasnya disebabkan bahasa pengantar bagi sastera Cina klasik iaitu bahasa Cina telah mengekalkan identitinya dari segi lisan dan tulisan walaupun negara China pernah diperintah oleh puak asing seperti orang Mongol (dinasti Yuan, 1279-1368) dan orang Manchu (dinasti Qing, 1644-1911).Tulisan Cina pada dasarnya bersifat grafik dan bukan fonetik (non-phonetic) dan sifat ini menjadikan bahasa Cina kurang sesuai untuk digunakan dalam usaha mentranskripsikan bahasa lain.


 Sifat bahasa Cina yang bukan berabjad-fonetik (alphabetic-phonetic) bermakna huruf-hurufnya tidak menunjukkan bunyi sebutan. Bahasa Cina boleh disebut dalam kelainan cara dari segi fonologi mengikut tempat atau mengikut kesesuaian selaras dengan perubahan zaman-zaman dalam sejarah Cina. Namun begitu, maksud dan huruf tetap sama tidak kira dalam dialek apapun ia disebutkan atau dipertuturkan. Maka itu kesusasteraan Cina dapat dinikmati dan dihayati oleh semua yang mengenali huruf Cina.

Jom kita lihat Pendidikan Tamadun China dengan Malaysia



Sistem peperikasaan awam Tamadun China adalah yang tertua didunia manakala sistem peperiksaan awam di Malaysia wujud dalam berpuluh tahun yang lalu.

Jenis Peperiksaan Awam Tamadun China
  1. Tahap 1 - Setaraf ijazah pertama dan dijalankan didaerah
  2. Tahap 2 - Setaraf dengan sarjana,dijalankan di ibu kota daerah
  3. Tahap 3 - Setaraf doktor falsafah,dijalankan di dalam istana
Jenis Peperiksaan Awam di Malaysia
  1. Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) diadakan semasa tahun 6 sekolah rendah.
  2. Penilaian Menengah Rendah (PMR) diadakan semasa tahun 3 sekolah menengah.
  3. Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diadakan semasa tahun 5 sekolah menengah.
  4. Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia(STPM) diadakan semasa tahun 6 sekolah menengah


Thursday, 22 March 2012

Anda tahu apa sumbangan terbesar Tamadun China dalam pendidikan?

Sumbangan Tamadun China sangat besar kepada dunia dalam bidang :
[1] MATEMATIK 
  • Chou Pei Suan King dan Chiu Chang Suan Shu merupakan dua buah karya matematik tertua. Chou Pei Suan King membicarakan kalendar, pengiraan masa bayang-bayang dan mengandungi catatan matematik. Chiu Chang Suan Shu mengandungi sembilan bab tentang kira-kira, ukuran dan beberapa teori matematik. Ia merupakan buku matematik yang paling lama dan berpengaruh. 
  • Orang China menggunakan sistem perpuluhan sejak abad ke tiga Masihi. Perkembangan dalam aljabar (algebra) bermula pada abad ke-13 M. Tokoh aljabarnya ialah Chin Chiu Shao. Buku beliau Shu-Shu Chiu-Chang membicarakan tentang persamaan berangka tinggi, persamaan tak tentu dan penggunaan aljabar dalam trigonometri. 
  • Pada abad ke-14 M, matematik China mengalami perkembangan yang pesat berbanding dengan matematik barat. Pada tahap ini mereka mempunyai kemahiran menguasai siri matematik, pilih atur dan gabungan. Umpamanya siri matematik yang dikenali sebagai segi tiga pascal diketahui oleh Chia Hsien pada tahun 1100 Masihi. Perbincangan tentang segitiga pascal juga terdapat dalam buku Ssu-Yuan Yu-Chieu yang dihasilkan oleh Chu Shih-Chieh pada tahun 1303 M. Beliau juga menulis buku Suan Hsueh Chi Meng (Pengantar ilmu Matematik) pada 1299 M yang melambangkan kemuncak perkembangan aljabar di China.

[2]ASTRONOMI

  • Dalam bidang astronomi sumbangan besar mereka ialah melalui perekodan dan pengkatalokan tentang bintang-bintang, gerhana dan komet. 
  • Pemerhatian alam semesta telah berlaku sejak 1300 SM misalnya Kexing atau guest star yang sekarang dikenali sebagai Crab Nebula telah direkodkan pada abad ke-11 di China. 
  • Orang Cina juga mempelajari matahari dan merekodkannya secara sistematik disamping merekodkan gerhana bulan dan matahari. Menerusi catatan mereka juga, mereka didapati telah menemui  komet Halley. Rekod ini menjadi asas kepada pengiraan orbit komet Halley hingga kini. 
  • Mereka juga mencipta alat untuk kegunaan astronomi iaitu gnomon dan clepsydra. Gnomon merupakan instrumen yang terdiri daripada tiang-tiang menegak bagi menentukan latitud matahari dengan mengukur kedudukan panjang bayang-bayang pada waktu tengah hari.
  • Manakala Clepsydra merupakan alat untuk mengukur masa berdasarkan aliran air yang ditentukan alirannya melalui suautu permukaan kecil yang dilakukan ke atas alat tersebut. Satu carta atau manuskrip tertua di dunia mengenai bintang telah ditemui di gua Dunhuang di Wilayah Gansu.

Tamadun China dan Tamadun Kini. Apa kaitannya dalam aspek pendidikan?

Tamadun dunia hari ini sebenarnya sangat terhutang budi dengan kecemerlangan pencapaian tamadun Asia khususnya Tamadun China kerana memberikan ilmu pengetahuan yang sangat banyak dan tinggi dalam bidang sains dan teknologi. Tamadun Asialah sebenarnya yang memungkinkan Tamadun Barat hari ini mencapai tahap kecemerlangan pada masa ini. Mereka sebenarnya memperolehi segala ilmu moden tentang sains dari leluhur Asia yang kemudiannya dibawa ke dunia Eropah dan memulakan zaman pembaharuan atau renaissence yang terkenal itu. Dari sinilah mereka kemudiannya meniru, memperbaiki, memperkaya dan memperbaharui segala penemuan asal dunia Asia untuk menjadi ilmu yang lebih baik dan bermanfaat. Ketamadunan dunia itu sendiri sifatnya adalah saling pinjam meminjam antara pelbagai budaya dunia yang memperkayakan tradisi keilmuan kepada mana-mana bangsa yang mahu dan berusaha untuk menekuninya.


Kecemerlangan Tamadun Asia terbukti melalui penemuan-penemuan sains seperti dalam bidang matematik, astronomi, sains perubatan, biologi, fizik, kimia dan zoologi. Manakala dalam bidang teknologi pencapaian mereka terserlah dalam bidang kejuruteraan, perancangan bandar, seni, senibina, seni pertukangan termasuklah seni pahat, seni ukir, seni busana, seni anyaman dan seni tenun. Tamadun-tamadun Asia ini meliputi Tamadun Arab-Islam (Melayu), India, China, dan Jepun.